Make your own free website on Tripod.com

Gara-Gara Bendera PAS

Suasana Kg. Kuala Pari menjadi kecoh apabila beberapa buah bendera PAS berkibar di angkasa raya kampong pinggiran Bandaraya Sejahtera beberapa minggu lalu. Keadaan yang dulunya aman sejahtera, tiba-tiba bertukar menjadi gelora dalam senyap!

Segalanya bertukar apabila Ustaz Mohd. Khazim bin Elias, bekas seorang pegawai ugama, bertugas di Pejabat Ugama Daerah, Ipoh yang bermukim di Kuala Pari mengistiharkan dirinya turut sama berjuang dalam menegakkan hukum Allah di bumi Malaysia tercinta, melalui penyertaan sebuah parti politik yang berpelembagaankan Al-Quran iaitulah Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Suasana menjadi tegang apabila Ketua Cawangan UMNO Kuala Pari yang berada di bawah bahagian Pasir Pinji iaitu Cikgu Mohd Zin membuat laporan polis berhubung dengan keputusan Ustaz Mohd. Khazim menyertai PAS kerana bimbang al-ustaz berkenaan akan menghasut penduduk di Kampong Kuala Pari serta kampong berdekatan untuk turut sama masuk PAS.

Isunya, bukanlah PAS atau UMNO. Kesejahteraan umat Islam terancam apabila manusia tertentu bimbangkan kuasa mereka akan terjejas oleh kebenaran dan hak yang datang daripada Allah. Rungutan di kalangan umat Islam yang cintakan kebenaran tercetus apabila segala majlis ugama yang ada berkaitan dengan Ustaz Mohd. Khazim di kampong berkenaan digam. Siapakah yang akan kerugian dalam menuntut ilmu apabila ulamak seperti Ustaz Mohd. Khazim disingkir atau diketepikan? Mestikah si pengajar ugama datangnya dari kelompok berpartian tertentu?

Ini semua akibat demam pilihanraya semakin merebak walaupun tarikh pembubaran parlimen belum diketahui. Di sana sini kempen politik giat berjalan. Adalah diharapkan suasana politik berjalan dalam aman sebagaimana sekarang. Kepada yang telah lama berkuasa kiranya benar rakyat tidak akan memilih mereka pada pilihanraya kali ini, usah berkerat rotan berpatah arang, mempertahan kerusi yang ada. Kepada yang berjuang mahukan kemenangan pula jangan terlalu agresif dan menyerang membuta tuli. Memang rakyat cukup matang untuk menilai segala perjalanan politik akhir-akhir ini. Mereka tidak lagi mudah terpedaya dengan segala tipu muslihat anjuran media sedia ada. Ramai yang beralih arah kepada internet yang membawa berita terkini paling mutakhir. Apa yang lebih penting berita internet lebih telus dan tidak memihak kepada sesiapa, kecuali kebenaran!