Make your own free website on Tripod.com

Nasib Kampong Terpinggir!!

Rintihan penduduk Kg. Kuala Pari Hilir sungguh menyayat hati Jembalang. Setiap kali hujan lebat turun pasti akan berlaku kemusnahan hartabenda dan kerugian! Tapi siapakah yang mahu menerima rintihan hati mereka?

Kg. Kuala Pari dikenali pada suatu masa dulu oleh tragedi yang menyayat hati, apabila sebuah kereta merempuh sekatan kayu dan menjadi mangsa gerabak berhantu yang tak mengenal siapa. Itu peristiwa yang berlaku kira-kira lebih sepuluh tahun lalu. Kampong yang terpinggir ini terletak bersebelahan dengan pekan Menglembu, Perak. Ia terpisah oleh pekan Menglembu oleh laluan keretapi yang menuju dari utara ke selatan dan sebaliknya.

Kedudukan kampong ini terhimpit pula oleh Sungai Pari yang membawa aliran dan pelbagai khazanah di dalamnya di sebelah timur. Beberapa insiden yang menjadi petaka dan peristiwa ngeri pernah dibawa oleh arusnya. Pertemuan dua arus iaitu Sungai Kinta dan Sungai Pari menjadikan aliran sungai ini lebih besar dan sebagai sebuah sungai yang menghubungkan aliran air dari bandaraya 'terbersih' ini ke hilir, khazanahnya sudah cukup sarat.

Kejadian hujan lebat melebihi tiga jam sehari sudah cukup untuk mendatangkan petaka kepada penduduk Kg. Kuala Pari Hilir. Pada ketika itu jalan utama Menglembu - Ipoh juga kerap dibanjiri air. Kadangkala kedalaman air itu melebihi paras yang membenarkan kereta dan motosikal untuk mengharunginya. Limpahan air dari pekan Menglembu ini akan mengalir ke arah timur di mana rupabuminya lebih rendah. Di sinilah terdapatnya laluan keretapi dari utara-selatan-utara.

Manakala Kg. Kuala Pari Hilir pula terletak di timur laluan keretapi ini dan di timur Kg. Kuala Pari Hilir pula, terletak aliran Sungai Pari yang cukup deras pada ketika hujan lebat. Terdapat beberapa parit besar yang dibina dari arah Menglembu untuk mengalirkan air merintasi laluan keretapi dan Kg. Kuala Pari Hilir terus ke Sungai Pari. Walau bagaimanapun atas ketidak efisyenan parit-parit ini dan kadangkalan muatan parit yang dibebani dengan sampah sarapnya, maka aliran air yang sepatutnya pantas itu mencari arah lain.

Sudah semestinya aliran air itu akan memenuhi segenap ruang beberapa rumah di Kg. Pari Hilir hinggakan paras banjir yang dicatatkan melebihi 1 meter. Kerugian setiap kali banjir tidak perlu ditafsirkan. Walau pun rumah yang terlibat tidak begitu banyak, namun yang menjadi mangsa pasti tertekan apabila seringkali rumah mereka ditenggelami air lumpur dan sampah sarap dari pekan Menglembu. Jembalang amat prihatin dengan keluhan rakyat yang terpinggir sebagaimana nasib yang dialami oleh penduduk di sini.

Hendak mengadu kepada Jabatan Pengairan dan Saliran dikatakan bahawa aliran tersekat itu adalah dalam kawasan rezab Keretapi Tanah Melayu. Apabila diadukan kepada pihak KTMB jawapan yang diberikan, sungai adalah dibawah penjagaan Jabatan Pengairan dan Saliran. Dimanakah tempat sewajarnya mereka mengadu?

Grafik kedudukan lokasi Kg. Kuala Pari Hilir dan aliran banjir serta petunjuk