Make your own free website on Tripod.com

Sentimen Anti Kerajaan UMNO Terus Menyala!

Petang Sabtu 13 Februari, 1999 telah tercatat dalam diari kehidupan seluruh penduduk Chemor, Perak. Walau pun cuaca dilaporkan tidak mengizinkan, dimana hujan telah turun dengan lebat sekali sejak awal petang hingga jam 3.30 petang, namun kehadiran yang ditunggu-tunggu, menyebabkan petang yang dingin itu menjadi hangat, diselip suasana sayu yang menyelubungi perasaan masing-masing.

Tepat jam 3.20 petang beberapa buah kenderaan memasuki perkarangan Sekolah Menengah Ugama Chepor, Chemor, Perak. Kedatangan Datin Seri Wan Azizah bin Dato Ismail bersama-sama Encik Ruslan Kassim serta rombongan mereka disambut meriah oleh lebih 10,000 ibubapa murid-murid sekolah tersebut, serta sanak saudara dan penduduk Chemor dan juga dari daerah yang berdekatan.

Dalam ucapannya, saudara Ruslan Kassim memberitahu bahawa ini merupakan kali kedua beliau menyertai rombongan DSWA dalam perjumpaan euidul fitri. Kali pertama ialah di Rembau pada 7 Feberuari, 1999. Kemunculannya adalah disebabkan kehilangan beliau selepas dibebaskan dari tahanan ISA, menjadi tandatanya kepada penyokong-penyokong gerakan reformasi.

Beliau memberitahu hadirin bahawa kemunculannya kini memberikan lebih semangat berbanding sewaktu sebelum ditahan dulu. "Semangat ini disebabkan tak ada Tok Guru (Dato' Seri Anwar) bersama. Kalau ada tu saya rasa serba tak kena", katanya dalam nada berjenaka sambil mendapat tepukan gemuruh seluruh yang hadir.

Datin Seri Wan Azizah kemudiannya memberitahu bahawa fitnah yang membawa kepada pemecatan suaminya dari kesemua jawatan adalah dibawah restu pimpinan UMNO hari ini iaitu Dr. Mahathir. Beliau menceritakan sedikit sebanyak peristiwa yang membawa kepada pemecatan Dato Seri Anwar, termasuk diminta memberi kata dua iaitu dipecat atau meletakkan jawatannya.

Keengganan meletakkan jawatan disebabkan dirinya tidak bersalah sebagaimana fitnah yang wujud itu, menyebabkan Dr. Mahathir telah memecat beliau, kata Azizah lagi dengan nada sayu. Peristiwa pemecatan Dato' Seri Anwar memang telah diketahui umum dan juga oleh penduduk negeri Perak. Sebaran berita tersebut dari kertas ke kertas, dipetik melalui internet. Walau bagaimana pun dengan pertemuan pada petang itu, mereka telah mendengar sendiri segalanya dari mulut Datin Seri Wan Azizah berhubung dengan isu konsfirasi yang wujud.

Ucapan-ucapan Datin Seri Wan Azizah dan saudara Ruslan Kassim telah diselang seli dengan takbir dan tepukan gemuruh para hadirin. Sesungguhnya inilah bukti bahawa walaupun demontrasi jalanan telah berakhir, namun sentimen anti Kerajaan UMNO terus menyala di dada masyarakat. Rata-rata menyatakan bahawa mereka sungguh tidak sabar menunggu pilihanraya. Nampaknya yang akan memungut bonus penuh dalam pilihanraya ini ialah Parti Islam Semalaysia (PAS) yang semakin ghairah dengan perjuangan memartabatkan keadilan dan menghapus kezaliman sebagaimana kehendak Al-Quran dan Sunnah.

Pemerhati Politik Tempatan P.P.T

13 Februari, 1999