Make your own free website on Tripod.com

Apabila Mahathir Tidak Lagi Bertanggungjawab

apabila rakyat menulis .....

Menangani bantahan rakyat berhubung isu politik terkini, orang yang perlu bertanggungjawab ialah tidak lain tidak bukan, Perdana Menteri Malaysia sendiri, selaku Ketua Politik dan Ketua Negara yang dilantik. Jika dalam sebuah perlawanan bola sepak kerapkali kita melihat dan mendengar, Ketua Pasukan atau Pengurus Pasukan atau Jurulatih akan meletakkan jawatannya ekoran kegagalan pasukan menunjukkan prestasi cemerlang dalam siri perlawanan yang mereka hadapi, maka kegagalan Malaysia mengulangi prestasi cemerlang dalam ekonomi dan politik negara memerlukan Perdana Menterinya meletakkan jawatan sebelum kegawatan sosial memuncak.

Amat difahami umum bahawa kesan kegawatan politik dan ekonomi adalah faktor yang boleh mengheret kepada kegawatan sosial pula. Asas-asasnya sudah ada. Setiap masa dan ketika sering kita mendengar dan terbaca kenyataan yang menyelar kegagalan Dr. Mahathir menangani dua permasalahan besar itu. Rakyat juga sudah amat memahami situasi yang berlaku dan fitnah yang melanda, hingga menyebabkan perpecahan parti BN selaku parti memerintah ketika ini. Perpecahan ini sebenarnya perlu dipertanggungjawabkan kerana ia telah menuju kepada kehancuran parti itu sendiri dan keyakinan rakyat kepadanya kian luntur.

Asas-asas sebegini adalah antara dakwaan yang cukup kuat mengapa Dato' Seri Dr. Mahathir perlu meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia, tanpa perlu lagi menunggu tarikh pilihanraya tiba. Walau pun beberapa kali beliau pernah berkata, 'jika saya turun sekalipun ia tidak akan menyelesaikan masalah ekonomi negara kita. Jadi apa perlunya saya berbuat demikian'. Seperti diketahui umum, dakwaan terbarunya ialah semasa membuat penerangan di luar negara bersama-sama pelajar kita di sana.

Mengapa perlunya Mahathir undur? Ramai telah menulis di pelbagai saluran selain internet, akhbar seperti Harakah, majalah-majalah dan lain-lain dengan pelbagai pendapat. Namun Mahathir tetap enggan. Keengganan beliau jelas membuktikan bahawa beliau seorang yang angkuh dan sombong. Meskipun beliau telah diserang dan menerima bantahan rakyat melalui pelbagai cara, beliau tetap enggan meletakkan jawatannya.

Sambutan dingin yang diterima oleh beliau kemana sahaja beliau pergi jelas menampakkan beliau sudah tidak dihormati lagi oleh majoriti rakyat dari pelbagai kaum di negara ini. Populariti beliau kian lebur bersama usianya yang kian luput menanti waktu. Pun begitu, daripada apa yang dilihat reaksi beliau kepada bantahan rakyat, Dr. Mahathir jelas tidak lagi menghormati rakyat. Beliau tidak lagi menerima pandangan rakyat. Jika seseorang negarawan hilang rakyatnya, siapakah lagi negarawan itu?

Minda rakyat akan terus dibelenggu permasalahan bagaimana mengundurkan seorang yang degil lagi berpengaruh. Akibatnya bukan negarawan itu sahaja jadi bahan bencian mereka, malahan persekitaran yang melibatkan beliau, seperti adik beradik atau sanak keluarga beliau, sahabat handai serta taulan yang rapat dengan beliau, teman seperniagaan dan yang selalu beliau berhubung, teman sepermainan dan tempat sosial yang selalu beliau kunjungi, hingga kepada pengawal peribadi beliau yang mungkin terdiri dari pegawai polis, parti politik dan siasah yang beliau dokongi dan lain-lain yang ada kaitannya dengan negawaran itu. Di Malaysia negarawan itu ialah Dr. Mahathir bin Mohamad.

Tidak ada dalam catatan sejarah, seseorang negarawan boleh terus memerintah jika tidak menerima sokongan rakyatnya melainkan di Malaysia. Kenyataan ini mencerminkan bahawa kediktatoran Dr. Mahathir mahu menguasai segalanya hingga melanggar batas susila dan agama. Apabila ugama tidak lagi menjadi ukuran beliau, inilah akibatnya. Beliau jelas lupa kepada pesanan RasululLah yang bermaksud, 'tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan pemimpin itu akan ditanya tentang kepimpinannya ...'.

Tragedinya ini sedang mewarnai suasana politik sempit di Malaysia. Sampai bilakah masanya beliau akan mengakui bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku? Perlukah setiap rakyat menunggu tarikh keramat (pilihanraya) yang juga beliau bakal membubarkan Parlimen dan kerajaan yang ada? Bagaimana jika tarikh itu dijadikan satu bahan permainan kotor politik beliau hingga membawa kepada rampasan kuasa rakyat yang sedia ada. Jika ini berlaku, Dr. Mahathir telah bertukar wajah dari seorang negawaran kepada perompak negara!

Pemerhati Politik Tempatan P.P.T.