Make your own free website on Tripod.com

Penyokong Reformasi Jangan Terkeliru Lagi: Undilah PAS (Amanat DSAI)

Tanpa parti politik, wajarkah penyokong reformasi mengundi PAS atau pembangkang dalam pilihan raya umum nanti?

Kenyataan-kenyataan saya, Azizah dan pemimpin reformasi lainnya jelas menzahirkan keperluan ditingkatkan kerjasama erat dan akrab dengan PAS terutamanya dan juga dengan DAP, PRM, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain tenaga baru termasuk kekuatan akar umbi Umno. Namun, kita harus berwaspada dengan tipu helah Dr. Mahathir dan kelompoknya dari Umno dan BN.

Kita diserang kuat apabila menyatakan sokongan kepada Lim Guan Eng. Mengapa harus kita berasa bersalah menyuarakan hak dan membela orang yang teraniaya? Islam menuntut keadilan dan bukannya untuk mempertahankan penjenayah.

Dr. Mahathir sendiri melantik Solomon (Smith) Barney, syarikat Yahudi untuk menjadi penasihat kerajaan. Mengapa harus kita berasa salah sekiranya orang luar turut menyatakan sokongan kepada kita? Rakyat tidak harus mudah terpedaya dengan taktik dan cara melaga-lagakan rakyat dari pelbagai kaum. Itulah yang dilakukan oleh penjajah. Ini jugalah yang dijalankan oleh Dr. Mahathir dan konco-konconya.

Jawaban kita harus tegas. Kita sedia bermuafakat dengan semua pihak untuk menegakkan keadilan. Sekiranya kita berpecah, pakatan mereka dan wang serta kekayaan yang dirompak dari rakyat dan media alat mereka akan menelan kita dan mereka akan terus berkuasa, merampas hak rakyat dan bermaharajalela!

Pada jangkaan Dato' Seri, bilakah pilihan raya umum akan diadakan?

Ini soal yang paling rumit buat Dr. Mahathir. Mahu diadakan pilihan raya sekarang, sokongan rakyat sudah merosot; mahu ditunggu, suasana tidak kunjung reda. Yang penting, kita harus bersiap dari sekarang. Tabah dan kuatkan semangat kerana apabila mereka cemas, lebih kuat (mereka membuat) ugutan dan rasuah membeli undi.

Harapan Dato' Seri pada penyokong reformasi untuk meneruskan perjuangan?

Penyokong reformasi harus tekun menyebarkan maklumat, menuntut perubahan dan berjuang menegak keadilan. Pimpinan Umno dan BN nampak berkeras mempertahankan kedudukan, memperkayakan pemimpin-pemimpin dan memiskinkan rakyat. Kita juga harus memupuk kerjasama erat dengan ADIL, PAS dan lain-lain parti serta pertubuhan di samping memberikan penjelasan kepada penyokong-penyokong tradisi Umno.

Kita harus tingkatkan kesedaran semua kalangan, semua kaum dan agama untuk menumpaskan pimpinan dan sistem zalim dan rasuah. Semoga Allah s.w.t. memberikan kekuatan.

(ehsan majalah DETIK)