Make your own free website on Tripod.com

ISU FITNAH OLEH PEMIMPIN UMNO

Lebih 8,000 orang telah menghadiri ceramah politik anjuran cawangan PAS Tambung, Ulu Kinta, Perak, yang diadakan di Taman Indah, Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak, malam tadi. Tetamu istimewa pada majlis tersebut ialah YB Dato' Haji Fadzil bin Md Noor. Antara yang hadir selain ahli PAS, ialah bekas ahli UMNO dan rakyat yang tidak berparti. Majlis yang bermula sekitar jam 9.00 malam, berakhir pada jam 12.00 tengah malam.

Dalam ucapannya, Dato' Haji Fadzil Md. Noor menegaskan bahawa pemfitnah yang paling besar sedang dihadapi oleh rakyat negara ini ialah daripada pihak pemerintah. Umpamanya, mereka sendiri telah memfitnah DSAI dengan berbagi tuduhan dan tomahan untuk menamatkan karier politik beliau. Tambahan lagi, kerajaan di bawah pimpinan Dr. Mahathir bimbang dengan pengaruh DSAI, boleh menggugat kedudukan beliau.

Selain dari DSAI, kerajaan UMNO sering memfitnah parti pembangkang seperti PAS. PAS bukan sahaja tidak mendapat keadilan dan kebebasan berpolitik sepenuhnya, tetapi sering menjadi sasaran bahan fitnah UMNO terutama menjelang pilihanraya tiba. Umpamanya baru-baru ini kerajaan UMNO telah menuduh PAS menghalang wanita daripada bekerja dan sama-sama menyumbang ke arah memajukan negara. Kenyataan itu bagaimana pun telah dipandang serius kerana media turut bersekongkol untuk menjayakan fitnah UMNO terhadap PAS.

Menurut Dato' Haji Fadzil lagi, kerajaan PAS di Kelantan sebagai contoh, belum pernah membuang pekerja wanitanya yang memakai tudung mengikut kehendak dan peraturan Islam. Sebaliknya pada beberapa ketika dahulu kerajaan UMNO pernah membuang pekerja wanitanya yang bertudung. Kejadian ini pernah berlaku di Ipoh, Perak dan ianya telah menjadi kes Mahkamah.

Pemutarbelitan fakta oleh media, membuktikan bahawa kerajaan akan menggunakan apa sahaja untuk terus berkuasa. Gara-gara kenyataan Tuan Guru Nik Aziz, baru-baru ini tentang peranan wanita dalam sama-sama menyumbang ke arah kemajuan negara, maka sebuah akhbar telah disaman oleh Kerajaan PAS kerana memutarbelitkan kenyataan Tuan Guru itu.

Seterusnya Dato' Hj. Fadzil Md Noor meminta supaya rakyat tidak terkeliru dengan lakonan para pemimpin UMNO yang sekarang mengatakan bahawa kerajaan dan pimpinan mereka sedang difitnah agar rakyat bersimpati dan terus memilih mereka. Tiada siapa yang ingin melakukan fitnah ke atas UMNO, melainkan ianya sengaja direka untuk mendapat simpati. Selain dari itu ia merupakan 'provoke' oleh parti memerintah itu kepada parti pembangkang.

Sebelum mengundur diri, Dato Hj. Fadzil menegaskan tiada satu penafian yang dibuat oleh Dr. Mahathir berhubung dengan isu yang dibangkitkan seperti pembinaan mahligainya, jet peribadinya, isu kronisme yang jelas menunjukkan itu bukanlah fitnah, malahan penyelewengan wang rakyat untuk kepentingan politik semata-mata. Segala 'budget' untuk rakyat dipotong, seperti bonus untuk kakitangan kerajaan dibayar separuh sahaja, sedangkan projek mahligainya yang dianggarkan menelan belanja sehingga RM600 juta terus dibuat mengikut perancangan tanpa pindaan dan pengorbanan wang sebagaimana yang rakyat diminta. Kerajaan UMNO harus ditolak oleh rakyat yang sedar, bijak dan tidak melihat sahaja wang rakyat diselewengkan, melalui proses pilihanraya nanti.

MINDA RAKYAT