Make your own free website on Tripod.com

Mengapa Mesti SEDC?

Dunia korporat di Perak dicemari oleh kepentingan pihak tertentu, yang akan dikenali sebagai halangan kepada pertumbuhannya. Setiap projek mega yang diwujudkan perlu penglibatan pihak tertentu hingga kerapkali ianya lebih merupakan satu red-tape kepada pelbagai usaha untuk memajukan ekonomi negeri berkenaan.

Kepentingan politik yang cukup jelas, adalah halangan utama kepada pertumbuhan kegiatan ekonomi negeri yang baru. Jika sesebuah projek tidak bersandarkan penglibatan ahli politik sekurang-kurangnya di peringkat Ketua Bahagian, maka segala perancangan biasanya akan lumpuh dan sia-sia. Sikap mementingkan kroni pada peringkat ini cukup jelas. Buktinya, pengagihan pemberian konsesi balak sebelum Hari Raya yang lalu adalah beredar di kalangan Ketua Bahagian di bawah ADUN Mohd Zaim b. Abu Hassan.

Pengalaman mentadbir di masa lalu, sering menghantui saya untuk membuka perniagaan baru bersama rakan-rakan. Ini kerana pentadbir diperingkat bawahan selalunya tertakluk kepada kepentingan pihak tertentu, yang menguasai keputusan di peringkat 'decision maker'. Setiap projek yang melibatkan kelulusan exco Kerajaan Negeri dan pemberian tanah, akan diminta memasukkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak sebagai rakan kongsi dalam perniagaan tersebut. Jika tidak ia akan ditolak mentah-mentah!

Apakah ini melambangkan polisi yang diamalkan di negeri Perak selama ini?. Jawapannya tidak! Hanya di bawah kuasa Menteri Besarnya yang terakhir ini iaitu Tan Sri Dr. Ramli segalanya menjadi wajib. Pengalaman bekerja semasa di bawah pentadbiran Pak Wan dan sebelumnya tidak terikat dengan apa-apa syarat asalkan memenuhi syarat 'politic fund'.

Soalnya mengapa mesti SEDC? (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak). Jawapannya tentu kerana pengerusinya adalah Tan Sri Dr. Ramli sendiri. Dengan penguasaan SEDC dalam projek yang sedang berjalan, maka kepentingan apa saja lebih mudah diperolehi dan segala keputusan lebih mudah dibuat. Tetapi apakah keputusan-keputusan itu memihak kepada syarikat yang berniaga. Jawapannya belum tentu! Ini kerana penglibatan SEDC sebenarnya adalah cara halus pihak tertentu merampas keuntungan dari setiap pelaburan yang dijalankan.

Bekas Pentadbir