Make your own free website on Tripod.com

Dimana Janji 5 Tahun Dulu?

Saudara Pengarang,

Saya amat bersimpati dengan nasib yang menimpa penduduk-penduduk Kg. Batu dan Kg. Seri Aman, bersebelahan Kg. Kuala Pari Hilir, Menglembu, Perak. Mereka adalah penduduk setinggan, antara yang terlama di daerah Kinta ini, namun masih belum menerima apa yang diharapkan.

Saudara Pengarang,

Apalah yang diharapkan oleh penduduk di kedua-dua kampong berkenaan, samalah juga yang diingini oleh penduduk yang lain. Bekalan air dan letrik serta kemudahan asas yang lain seperti surau, dewan dan jalan perhubungan yang baik.

Menurut krologi pihak yang tertua mendiami kampong berkenaan, sejarah awal penubuhan kampong tersebut telah bermula dalam tahun 70'an lagi. Pernah dilawati oleh Tan Sri Ramli sebanyak 3 kali sepanjang beliau menjadi Menteri Besar di mana lawatannya yang terakhir ialah pada 5 tahun dulu, semasa berkempen pilihanraya dalam tahun 1994.

Dalam lawatan yang terakhir tersebut, Tan Sri Ramli telah berjanji kepada kedua-dua penduduk kampong berkenaan, seramai lebih 500 orang, bahawa beliau telah meluluskan pemberian lot kepada penduduk-penduduk di situ. Beliau mengharapkan Pentadbir Tanah Daerah yang berkenaan supaya mengambil inisiatif tertentu ke arah usaha pemecahan lot dan pemberian anugerah kepada penduduk terlibat.

Malangnya hingga ke saat ini janji yang dibuat masih belum dikotakan. Akhirnya tinggallah penduduk kampong tersebut, terpisah dan tersisik dari arus pembangunan yang melanda. Penduduk yang tinggal di kawasan ini rata-rata adalah terdiri dari kaum Melayu iaitu sebanyak lebih 90%, manakala India dan China 10% lagi. Dalam tahun 1998, penduduk yang tidak tahan dengan janji sahaja, akhirnya berkongsi duit untuk menikmat kemudahan bekalan air dan letrik.

Kg. Batu dan Kg. Seri Aman adalah bawah JKKK UMNO Cawangan Kuala Pari Hilir yang diketuai oleh Ketua Cawangan UMNO En. Mohd Khalid, selaku imam yang dilantik oleh pihak kerajaan. UMNO Cawangan Kuala Pari Hilir ini adalah di bawah Ketua Bahagian UMNO Kinta (YB En. Yusuf bin Kassim). Hingga kini tiada pembelaan yang diterima oleh penduduk di sini daripada segala janji-janji manis pimpinan-pimpinan yang ada.

Baru-baru ini terdapat di kalangan penduduk yang kecewa dengan sikap pemimpin UMNO, menerima tajaan PAS yang berkempen mencari ahli. Sesungguhnya penduduk kampong ini sekarang sebenar-benar berazam untuk menegakkan kepimpinan baru dalam kampong berkenaan, sebagaimana kibaran bulan putih yang mengambang di langit hijau yang kian melitupi awan kedua kampong berkenaan!!

Pemerhati Senasib

Ipoh