Make your own free website on Tripod.com

Perbicaraan Kes DSAI: Bukti Kerajaan Tidak Telus

Meneliti perbicaraan demi perbicaraan berhubung dengan kes rasuah Dato' Seri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas Timbalan Presiden Parti UMNO dan pemecatan beliau sebagai ahli UMNO, dari hari ke hari adalah sama dengan ujian kelayakan badan kehakiman Malaysia berbanding dengan ketelusan yang sering dilaung-laungkan.

Umpamanya semasa menjawab soalan kepada wartawan asing semasa di Switzerland minggu lalu, antara lain Perdana Menteri menyatakan bahawa seseorang yang bersalah tidak kira rakyat biasa atau apa jawatan yang disandang, akan dibicarakan. Malahan ucapannya sebegini, telah seringkali beliau ucapkan di mana sahaja soalan yang sama diajukan.

Keluhuran kata-kata disebalik ucapan Perdana Menteri itu akhirnya terbukti bercanggah dengan apa yang sering diucapkannya. Mahkamah Tinggi Malaysia pada hari ini 10 Februari, 1999, telah beberapa kali melarang Dato' Seri Anwar Ibrahim mengaitkan tuduhan rasuahnya dengan konsfirasi politik. Sedarkah hakim Augustine Paul bahawa sebenarnya beliau sedang mempertahankan ucapan-ucapan Perdana Menteri atau sebaliknya? Atau apakah Dato' Seri Dr. Mahathir yang berbohong kesana sini?

Ketelusan seharusnya bermaksud Kerajaan tidak menyembunyikan sesuatu. Dalam kes ini, perbicaraan terhadap Dato' Seri Anwar seharusnya lebih telus dari apa yang sering diperkatakan oleh barisan pimpinan negara. Namun apakah sebenarnya yang sedang disembunyikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kepada seluruh rakyat negara ini?

Jika perbicaraan memerlukan pendakwaan dan pembelaan, maka tindakan Dato' Seri Anwar Ibrahim membela diri dengan mengemukakan apa saja bukti yang ada, adalah dikira masih berada dalam lingkungan perbicaraan dan tidak melampau. Dalam sesebuah negara demokrasi prinsip "seseorang itu akan dihukum bersalah apabila pendakwaan terhadapnya berjaya membuktikan ia bersalah". Namun apa yang berlaku, setiap belaan terhadap dirinya dilarang sama sekali, dengan mengatakan itu adalah khabar angin yang seolah-olah wujudnya satu konsfirasi politik.

Padahal isu konsfirasi sememangnya dapat dilihat dengan jelas, hingga dapat dirasai badan kehakiman negara juga turut bersama-sama menjatuhkan dan memusnahkan kerjaya politik insan malang itu. Hakikat yang dialami oleh Dato' Seri Anwar sekarang, sama seolah-olah "beliau dikira bersalah, jika ia gagal membuktikan dirinya tidak bersalah" yang mana adalah menjadi falsafah komunisme zaman berzaman. Apakah sistem kehakiman negara kita berfalsafahkan ini?

Rakyat lebih dikejutkan dengan larangan kepada media untuk menyiarkan apa jua patah perkataan yang terkandung dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Nampaknya kerajaan tidak bersedia bersikap telus dalam soal ini. Ini merujuk kepada kerajaan lebih cenderung memelihara kepentingan orang-orang tertentu daripada hati seluruh rakyat Malaysia yang sedang mengikuti kes perbicaraan ini. Mereka bukan sahaja yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan sebarang gerakan keadilam, reformasi dan seumpamyana, tetapi adalah juga terdiri dari ahli-ahli UMNO dan rakyat jelata yang tidak berparti.

Negara akan ditertawakan oleh orang asing yang juga sedang mengikuti kes perbicaraan Dato' Seri Anwar di seluruh dunia. Alangkah malunya apabila maruah negara dijual secara terang-terangan oleh beberapa orang pimpinan negara dan hakim yang sedang mengadili perbicaraan ini. Malaysia akan dituduh sebagai negara diktatorian yang melebihi sebarang negara di dunia!

Jika direnungkan sejenak kepada penafian oleh hakim terhadap konsfirasi politik peringkat tertinggi yang menjatuhkan Dato' Seri Anwar, rakyat bawahan juga akan dapat menilai bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu adalah dari lahir dari jawatan politik. Kes bermula dengan penyingkiran beliau dari jawatan politiknya. Dibicarakan dalam sidang tersingkat Majlis Tertinggi UMNO selaku badan politik yang mentadbir negara ini sekarang, jadi mengapa mesti unsur konsfirasi oleh peringkat tertinggi politik parti itu dinafikan?

Kepada rakyat yang bijak menilai, kes penyingkiran Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah bukti bahawa Kerajaan UMNO yang memerintah negara ini mengamalkan sikap diskriminasi dan 'autordoks'. Semakin dinafikan semakin menyerlah kepincangan barisan kepimpinan UMNO yang memerintah. Jika negara kuasa besar seperti China yang mengamalkan dasar tutup pintu dan fanatik dengan fahaman komunisme, akhirnya mengalah kepada tuntutan reformasi sebilangan kecil para pelajar di institusi pengajian tinggi untuk menerima demokrasi, mengapa UMNO selaku Kerajaan memerintah hari ini tidak mengambil iktibar dari peristiwa tersebut.

Rata-rata celik politik mengatakan bahawa selama mana parti yang memerintah sesebuah negara dapat menyembunyikan dasar dan falsafah kepartiannya dari rakyat negara tersebut, maka selagi itulah mereka akan dapat mengekalkan kuasa pemerintahan mereka. Sebaliknya jika rakyat telah memahami konsep perjuangan dan falsafah parti itu, maka bersedialah untuk menerima penghakiman rakyat selaku pengundi.

Dengan terbuktinya sikap tidak ketelusan Kerajaan UMNO pada hari ini, maka sebagai alternatif, dapat dilihat rakyat yang sedar, telah mengorak langkah meninggalkan parti itu secara beramai-ramai. Perjuangan memerdekakan negara dari penjajahan baru bangsa sendiri melalui PAS adalah pilihan bijak memenuhi tuntutan kehidupan yang berteraskan ad-din sebagai falsafah hidup dan kepartian.

Pemerhati Politik Tempatan P.P.T.

10 Februari 1999