Make your own free website on Tripod.com

Kerajaan UMNO bakal dikecundangkan

Pemerhati Politik Tempatan P.P.T. menulis.

Merenung sejenak kegawatan politik yang melanda negara, banyak resolusi dapat dibuat implikasi fitnah ke atas Dato Seri Anwar Ibrahim. Daripada berpuluh atau ratusan akibat-akibat itu, tentunya akibat yang paling menakutkan pemimpin hari ini tentang kesedaran bahawa Kerajaan UMNO sudah hilang kredebilitnya di kaca mata orang Melayu khususnya dan rakyat negara ini amnya. Apa yang lebih menakutkan mereka ialah ini bukanlah dari andaian semata-mata, malahan telah terbukti melalui beberapa contoh tertentu.

Mari kita lihat sebagai contoh kesan ke atas sokongan ahli UMNO sendiri. Umpamanya di cawangan UMNO Changkat Lada di mana terdapat lebih dari 200 orang daripada lebih 500 ahlinya telah mengistiharkan diri mereka menjadi ahli PAS. Kemungkinan inilah hingga menyebabkan Dato' Seri Ramli telah dua kali akhir-akhir ini tidak membuat mesyuarat peringkat cawangannya kerana bimbangkan kehadiran ahli yang tidak berapa kerat.

Kesan fitnah ke atas Dato Seri Anwar akan terus merudumkan sokongan kepada UMNO hampir di sebahagian besar kerusi UMNO Perak. Sementara itu keahlian PAS bagi kawasan berkenaan semakin kuat dan nampaknya bendera mereka dikibarkan semakin tinggi walau pun tarikh pilihanraya masih jauh lagi.

Beberapa kerusi ADUN yang diramalkan kecundang dalam pilihanraya akan datang ini ialah kawasan ADUN Changkat Jong (Dato' Hj. Mohd Arshad bin Abdullah), ADUN Belanja (Dato' Hj. Mohd. Zaim bin Hj. Abu Hassan), ADUN Kuala Kangsar (Tuan Haji Ahmad Sharifuddin bin. A. Aziz), ADUN Batu Kurau (YM Dato' Raja Haji Ahmad Zainuddin bin Raja Haji Omar), ADUN Selama (En. Mohd Ali bin Hj. Mohd. Isa), ADUN Alor Pongsu (En. Burhanuddin b. Mat Nor), dan beberapa lagi.

Sementara kawasan Parlimen yang diramalkan akan tewas kepada parti pembangkang ialah Parlimen Parit (Puan Ainon Khairiyah bt. Dato' Mohd. Abas) dan Parlimen Larut (Dato' Haj. Mohd. Zihin bin Haji Mohd Hassan). Lain-lain kawasan kemungkinan besar akan tewas kepada parti pembangkang samada PAS atau DAP ialah Lahat, Kampar, Gopeng dan Sitiawan. Dapatlah dirumuskan bahawa sepaling tidaknya satu atau dua kerusi PAS akan bertapak dalam Dewan Undangan Negeri Perak selepas pilihanraya kali ini, dan jumlah ini mungkin lebih. Persoalannya, apakah benar kesan fitnah ke atas DSAI itu semata-mata menyebabkan sokongan kepada Kerajaan UMNO kian luntur?

Antara projek mega di negeri Perak yang menonjolkan pembangunan sebagai umpanan politiknya. Siapakah yang sebenarnya menikmati faedah ini? Adakah ini yang dikatakan "Tradisi Membela Rakyat"?

 

Jika direnung kembali falsafah kejatuhan Kerajaan China beratus tahun lamanya mengamalkan dasar tutup pintunya ialah kerana para pemimpinnya berjaya menyembunyikan dasar parti kepada rakyat jelata. Ratusan juta rakyat yang buta huruf itu tidak mengetahui sebenarnya apakah yang didokong oleh pemerintahan mereka dari satu dinanti ke satu dinasti. Hanya setelah pusat-pusat pengajian tinggi berjaya melahirkan cendikiawan-cendikiawannya, maka suara reformasi mula bergema di Peking!

Urutan dari peristiwa itu hingga membawa kepada pertumpahan darah dan pengorbanan sekelompok manusia yang tahu apa itu kebenaran dan menyedari bahawa dasar pemerintah tidak memihak membela nasib rakyat dan lebih mementingkan kroni dan mengamalkan nepotisme, maka perjuangan memerdekakan negara itu dari penjajahan bangsa sendiri berkurun lamanya telah bermula!

Menginsafi bahawa kebenaran yang kian didedahkan oleh media tercanggih internet, maka UMNO pada hari ini tidak lagi boleh mendabik dada mengatakan kerajaannya paling kebal dalam sejarah dunia kerana berjaya memerintah negara ini selama 41 tahun lamanya! Akan tercatat di lembaran sejarah bahawa kredebiliti UMNO kian lebur ditelan zaman abad ke dua puluh yang akan berakhir.

Amaran ini bukan sahaja kepada UMNO, tetapi kepada semua parti lain amnya, haruslah lebih telus lagi. Sebarang kepincangan perlu segera dirawat. Rakyat semakin bijak menilai yang mana kaca dan permata. Kalau sekian lamanya UMNO berjaya menyembunyikan falsafah perjuangannya melalui medianya, tetapi dengan internet pandangan rakyat amat telus dan segala kepeincangan yang berlaku tidak dapat disembunyikan lagi. Rakyat Malaysia yang kadar celik huruf antara tertinggi di dunia mampu menilai antara yang baik dengan yang terbaik. Padah yang harus diterima oleh kegagalan mereka akan terjawab selepas pilihanraya nanti, melainkan satu konsfirasi oleh Suruhanjaya Piliharaya yang memihak kepada parti tertentu!

Antara projek yang dilakukan untuk kemudahan rakyat. Mengapa projek ini masih berjalan seperti hidup segan mati tak mahu. Adakah kerana jika sesuatu projek untuk rakyat, maka boleh dilengah-lengahkan dengan apa cara jua alasan?