Make your own free website on Tripod.com

Pemantauan Badan Bebas Penentu Ketelusan Pilihanraya

Menyingkap tabir pilihanraya yang bakal diadakan di Sabah pada 12 dan 13 Mac, 1999 serta seterusnya pilihanraya umum selewat-lewatnya April 2000, selaku parti memerintah negara ini selama 42 tahun, UMNO begitu rakus cuba memenangi hati rakyat dengan pelbagai agendanya.

Walau para pemimpinnya pernah berkata 'biarlah rakyat menentukan semula kerajaan melalui cara yang demoktratik' iaitulah pilihanraya, namun sikap pemimpin-pemimpin UMNO secara ikhlasnya, tidak jujur dengan ucapan-ucapan mereka sendiri. Setelah menyerahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan mereka, tidak seharusnya memaksa rakyat memilih kembali mereka. Di manakah keadilan ucapan-ucapan mereka kepada diri mereka sendiri? Usahlah dipersoal hak rakyat!

Perbuatan sebahagian besar pemimpin tertinggi parti UMNO membolot media untuk propaganda perjuangan konglomerat mereka serta kepentingan kroni-kroni mereka, menyebabkan rakyat bawahan amat meluat dengan RTM terutamanya. Kalau dulu program TV menjadi sebahagian agenda hiburan rakyat setelah penat bekerja, tetapi tidak masa kini kerana dipenuhi dengan propaganda politik murahan UMNO. Itu yang ditayangkan berkali-kali menyebabkan rakyat jemu dan muak. UMNO tidak mahu menerima hakikat bahawasanya rakyat amat membenci propaganda berpolitik melalui TV! Perkhidmatan itu mereka bayar bukannya percuma.

Hanya yang sering dilaungkan para pemimpin UMNO hari ini ialah kelancangan parti pembangkang menabur fitnah melalui kempen mereka dengan memburuk-burukkan para pemimpin UMNO. Apa yang perlu disedari oleh pemimpin UMNO ialah bahawa suara yang terlaung-laung itu adalah sebahagian besar dari suara hati rakyat negara ini. Pekikan mereka adalah rontaan hati majoriti rakyat negara ini. Takbir mereka adalah keujuban hati-hati rakyat Islam negara ini yang cintakan kebenaran dan keadilan yang kini sudah musnah dalam genggaman para pimpinan UMNO yang silih berganti, selaku pemerintah diktator selama 42 tahun lamanya.

Apakah yang rakyat bawahan nikmati? Adakah dengan keperluan asas seperti bekalan elektrik, bekalan air, telefon, jalanraya dan sebagainya sudah cukup mengatakan bahawa kerajaan UMNO amat perihatin membela nasib rakyat? Itu politik kampongan! Ini zaman cyber.

Orang kampong sudah amat memaklumi politik cara begini dan mendakwa segala keperluan itu sebenarnya mereka bayar. Bukan dihadiahkan atau diberi dengan percuma. Jalan raya mereka juga bayar cukai jalan. Tetapi lebuhraya mengapa mesti ditolkan? Kenapa mesti kerugian akibat pengswastaan ini ditanggung oleh rakyat? Sudah semestinya berniaga menjadi adat, untung dan rugi. Pada masa mengaut keuntungan tidak pernah dicanangkan atau dikongsikan dengan mereka. Tetapi bila rugi, rakyat diminta berkorban. Di mana keadilan?

Biarlah rakyat ketika ini menenangkan hati mereka untuk membuat pilihan menentukan masa depan mereka. Masa depan mereka adalah ditangan mereka sendiri. Bukan di tangan kerajaan UMNO atau sesiapa jua. Pilihan mereka akan menentukan nasib mereka, samada akan terbela atau hanya para pemimpin itu datang dan pergi lima tahun sekali. Kenapa UMNO menghantar jumlah penghasut yang ramai untuk memancing undi. Kalau benar telah menjalankan kewajipan terhadap rakyat, undi rakyat pasti akan memihak kepada mereka. Tidak perlu dihasut atau dipaksa. Jangan gunakan ugutan secara halus atau pun kasar. Biar rakyat tenang sendirian dan akan keluar mengundi pada tariikh yang ditetapkan.

Di kalangan pemerhati politik tempatan berpendapat sebenarnya UMNO tidak bersedia turun dari takhta singgahsana Parlimen negara. Jika perlawanan bola sepak ada kalah menangnya, UMNO mahu terus menang sampai bila-bila. Apakah UMNO mahu dimahkotakan sebagai Parti Kekal memerintah Malaysia? Malaysia bukan milik UMNO. Malaysia milik semua rakyatnya. Pilihanraya sebagaimana diketahui adalah cara untuk menentukan kerajaan yang baru melalui pungutan suara rakyat. Usah diperjudikan pilihanraya dengan cara kotor untuk memenangi kerusi yang ada. Haruslah menerima hakikat bahawa kuasa sebenar adalah kuasa rakyat.

Bagi menjamin pilihanraya yang bersih dan adil suatu badan bebas terutamanya PBB perlu untuk memantau perjalanan pilihanraya kali ini. Kehadiran mereka perlu dijemput, bukan untuk campur tangan tetapi untuk memastikan perjalanan bersih pilihanraya bukan sahaja di Sabah, malahan pilihan raya umum negara tidak lama lagi. Siapa lagi yang akan percayakan reputasi SPR jika mereka tidak telus, sebagaimana ketidaktelusannya kerajaan UMNO hari ini. Mereka mahu terus kebal dengan mengeksplotasi segala yang ada demi mengukuhkan kedudukan mereka sekali pun dengan cara kotor dan hina!

Pemerhati Politik Tempatan P.P.T.

24 Februari, 1999